Hospital Pakar Mahkota (Mahkota Specialist Hospital) Memperkenalkan Nama Dan Identiti Jenama Baharu Seiring Perkembangan Penjagaan Kesihatan Rentas Sempadan Di Melaka
MELAKA, MALAYSIA, 15 OKTOBER 2026:Hospital Pakar Mahkota (Mahkota Specialist Hospital)(“Mahkota”), yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Perubatan Mahkota (Mahkota Medical Centre), telah memperkenalkan nama dan identiti jenama baharu yang menampilkan HMI Spark, sekali gus menyelaraskan identiti hospital dengan rangkaian penjagaan kesihatan HMI Medical yang lebih luas di Singapura dan Malaysia. Identiti baharu ini mengukuhkan hubungan Mahkota dengan HMI Medical, berlandaskan warisan penjagaan kesihatan selama lebih tiga dekad serta reputasinya dalam menyediakan penjagaan berkualiti kepada pesakit tempatan dan antarabangsa.
Penggunaan HMI Spark menandakan langkah seterusnya dalam menghubungkan jenama penjagaan kesihatan HMI Medical di seluruh rantau ini seiring peningkatan permintaan terhadap penjagaan kesihatan rentas sempadan. Bagi pesakit dan rakan kerjasama, identiti bersama ini memperjelas hubungan antara Mahkota dengan rangkaian penjagaan kesihatan bersepadu Kumpulan, sekali gus mencerminkan komitmen bersama terhadap kualiti dan penjagaan.
Menyemarakkan perubahan melalui empat keutamaan untuk membentuk masa depan penjagaan kesihatan
HMI Spark melambangkan aspirasi HMI Medical untuk merealisasikan janji “Lebih prihatin, Lebih bermakna” dengan menggabungkan empat elemen utama penjagaan menyeluruh: fizikal, mental, sosial dan penjagaan yang disesuaikan dengan keperluan individu. Elemen-elemen ini mencerminkan komitmen Kumpulan untuk menjaga kesihatan fizikal, memahami keperluan mental dan emosi, menyesuaikan penjagaan mengikut keperluan setiap individu serta menjalin hubungan dengan komuniti tempat mereka tinggal.
Terbentuk daripada empat simbol berbentuk “lebih besar daripada” yang bertemu di tengah, HMI Spark melambangkan aspirasi HMI Medical untuk terus mencari cara yang lebih baik dalam menjaga pesakit. Aspirasi ini diterjemahkan melalui empat keutamaan:
- Kepakaran yang lebih mendalam: Memperkukuh keupayaan klinikal, pengetahuan pakar dan teknologi perubatan untuk menyediakan penjagaan berkualiti tinggi yang disesuaikan dengan keperluan individu.
- Penjagaan yang memahami keperluan anda: Memperluas perkhidmatan, bidang kepakaran dan pilihan tempat menerima penjagaan bagi memenuhi keperluan kesihatan yang lebih menyeluruh, daripada pencegahan hingga rawatan dan pemulihan.
- Pengalaman penjagaan yang lebih bersepadu: Menghubungkan kepakaran, perkhidmatan dan tempat penjagaan untuk mewujudkan perjalanan penjagaan kesihatan yang lebih terselaras dan memudahkan pesakit mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.
- Mendekatkan akses penjagaan yang dipercayai kepada anda: Menjadikan penjagaan kesihatan berkualiti lebih mudah diakses dan mampu dibiayai, sekali gus meningkatkan keyakinan individu dan keluarga terhadap pilihan penjagaan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Mahkota (Mahkota Specialist Hospital), Teo Chin Yee, berkata pembaharuan identiti jenama ini diperkenalkan ketika Mahkota memasuki fasa perkembangan seterusnya, dengan pembangunan blok hospital baharu untuk menambah kapasiti serta memperkukuh keupayaan penjagaan pakar dan tertiari. Pembaharuan ini turut mencerminkan aspirasi untuk membina ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih saling berhubung, seiring pertumbuhan pelancongan perubatan rentas sempadan di rantau ini, khususnya antara Malaysia dan Indonesia.
Beliau berkata, “HMI Spark melambangkan komitmen kami untuk terus menambah baik cara kami menjaga pesakit. Dalam melabur bagi fasa perkembangan seterusnya Hospital Pakar Mahkota (Mahkota Specialist Hospital), kami bukan sahaja menambah kapasiti, malah turut meningkatkan keupayaan klinikal, teknologi dan pengalaman pesakit secara keseluruhan. Penggunaan identiti bersama HMI Medical mengukuhkan kedudukan Mahkota dalam rangkaian penjagaan kesihatan serantau yang dipercayai, membolehkan kami terus berkembang berlandaskan asas yang kukuh sambil memberikan pesakit akses kepada kepakaran yang lebih luas dan penjagaan yang lebih lancar. Kesemua ini mencerminkan aspirasi kami untuk bekerjasama sebagai satu Kumpulan bagi mencetuskan perubahan positif dan membentuk masa depan penjagaan kesihatan untuk komuniti yang kami layani di Melaka dan rantau ini.”
Memperkukuh peranan Mahkota dalam landskap penjagaan kesihatan Melaka
Nama baharu hospital, Hospital Pakar Mahkota (Mahkota Specialist Hospital), mencerminkan dengan lebih jelas perkembangannya selama lebih tiga dekad menjadi sebuah hospital pakar tertiari yang menyediakan perkhidmatan menyeluruh, merangkumi pelbagai kepakaran dan subkepakaran, penjagaan multidisiplin serta teknologi perubatan canggih.
Mahkota terus memperluas infrastruktur dan meningkatkan keupayaan klinikalnya bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan pesakit di Malaysia dan rantau ini. Sebuah blok hospital baharu sedang dibangunkan dan dijangka menjadikan Mahkota hospital swasta terbesar di Melaka menjelang 2029, dengan kapasiti sehingga 430 katil.
Seiring peluasan kemudahan penjagaan kesihatan, perkhidmatan klinikal dan keupayaan teknologi Mahkota, warga kerjanya kekal sebagai tunjang penjagaan kesihatan. HMI Medical melabur RM50 juta dalam tempoh lima tahun melalui HMI Malaysia Healthcare Workforce 2030 Fund bagi menyokong biasiswa, tajaan pendidikan dan penempatan latihan klinikal. Pelaburan ini bertujuan melengkapkan profesional penjagaan kesihatan dengan kemahiran dan pengalaman untuk memberikan penjagaan berkualiti serta memenuhi keperluan pesakit yang terus berubah di Malaysia dan seluruh rantau ini.
Menerajui perkembangan baharu penjagaan kesihatan rentas sempadan
Menurut Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Malaysia menerima kira-kira 1.85 juta pelancong kesihatan pada 2025, menjana hasil sebanyak RM3.35 bilion dan mencerminkan perkembangan berterusan permintaan serantau terhadap penjagaan kesihatan berkualiti. Dengan pengalaman lebih 32 tahun dalam memberikan perkhidmatan kepada pesakit dari Indonesia dan negara-negara lain, Mahkota telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan Melaka sebagai destinasi pelancongan perubatan serantau. Kedudukannya turut diiktiraf apabila terpilih sebagai salah satu daripada empat finalis program Flagship Medical Tourism Hospital 2025 anjuran MHTC, selain disenaraikan dalam penarafan Best Specialized Hospitals Asia Pacific oleh Newsweek dan Statista selama empat tahun berturut-turut, dari 2023 hingga 2026.
Peluasan Mahkota berlandaskan asas klinikal yang kukuh dan piawaian kualiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Mahkota ialah hospital pertama dan satu-satunya di Malaysia yang memperoleh tiga Gold Seals of Approval daripada Joint Commission International (JCI), merangkumi akreditasi hospital serta dua Pensijilan Program Penjagaan Klinikal (CCPC) bagi Kanser Payudara dan Penyakit Buah Pinggang Kronik. Sebagai satu-satunya hospital di Melaka yang diluluskan untuk penggunaan MediSave di luar Singapura, Mahkota turut menyediakan pilihan tambahan kepada warganegara dan penduduk tetap Singapura bagi kemasukan ke hospital serta pembedahan harian yang layak, tertakluk pada syarat semasa. Bersama-sama peningkatan kapasiti, keupayaan pakar dan teknologi perubatan canggih, kekuatan ini membolehkan Mahkota memenuhi keperluan penjagaan kesihatan serantau yang semakin meningkat, di samping mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi penjagaan kesihatan berkualiti yang dipercayai.
Ketua Pegawai Eksekutif Negara HMI Malaysia, Stanley Lam, berkata penjagaan kesihatan rentas sempadan sedang membentuk semula peranan Malaysia sebagai hab penjagaan kesihatan serantau.
“Melalui pelaburan dalam keupayaan klinikal, infrastruktur, teknologi dan bakat penjagaan kesihatan, kami berhasrat untuk memperkukuh penjagaan bagi komuniti tempatan yang kami layani sambil memenuhi permintaan serantau yang semakin meningkat. Hospital Pakar Mahkota (Mahkota Specialist Hospital), Regency Specialist Hospital dan Regency Medical Care Centre telah membina reputasi yang kukuh dalam pasaran masing-masing, termasuk dalam kalangan pesakit antarabangsa. Dengan identiti bersama yang lebih kukuh serta pelaburan berterusan dalam keupayaan kami, kami berada pada kedudukan yang baik untuk terus berkembang berlandaskan asas ini dan memperluas jangkauan perkhidmatan kami di seluruh rantau ini,” katanya.
Melalui pelaburan berterusan dalam infrastruktur penjagaan kesihatan, keupayaan pakar dan pembangunan tenaga kerja, Hospital Pakar Mahkota (Mahkota Specialist Hospital)berhasrat untuk meneruskan warisan penjagaan kesihatannya sambil menyumbang kepada rangkaian penjagaan kesihatan serantau yang lebih saling berhubung.
Mengenai Hospital Pakar Mahkota (Mahkota Specialist Hospital)(sebelum ini dikenali sebagai Mahkota Medical Centre)
Ditubuhkan pada 1994, Hospital Pakar Mahkota (Mahkota Specialist Hospital)ialah sebuah hospital swasta tertiari terkemuka di Melaka, Malaysia, dan merupakan sebahagian daripada HMI Medical, sebuah kumpulan penjagaan kesihatan serantau yang beribu pejabat di Singapura. Dipercayai oleh lebih 300,000 pesakit setiap tahun, termasuk lebih 95,000 pesakit antarabangsa, Hospital Pakar Mahkota (Mahkota Specialist Hospital)mempunyai 305 katil dan lebih 200 doktor pakar berpengalaman yang menyediakan penjagaan menyeluruh dalam lebih 47 bidang kepakaran perubatan dan pembedahan.
Sebagai satu-satunya hospital di Melaka yang mendapat akreditasi Joint Commission International (JCI), Mahkota diiktiraf atas komitmennya terhadap piawaian kualiti dan keselamatan pesakit yang berteraskan penanda aras antarabangsa. Hospital ini juga terus meningkatkan keupayaan hospital pintarnya dengan mengintegrasikan teknologi, data dan penjagaan yang disokong teknologi digital untuk memberikan pengalaman penjagaan kesihatan yang lebih bersepadu, cekap dan berpusatkan pesakit.
Berbekalkan pengalaman penjagaan selama lebih tiga dekad, Mahkota terus melabur dalam warga kerja, keupayaan klinikal, teknologi dan infrastruktur bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan komuniti yang sentiasa berubah. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.mahkotaspecialist.com.
Mengenai logo (HMI Spark)
HMI Spark merupakan teras identiti jenama HMI Medical. Ia terbentuk daripada empat simbol berbentuk “lebih besar daripada” yang bertemu di tengah, melambangkan aspirasi Kumpulan untuk melangkaui penjagaan kesihatan konvensional. HMI Spark menggabungkan empat elemen utama penjagaan menyeluruh — fizikal, mental, sosial dan penjagaan yang disesuaikan dengan keperluan individu — yang mencerminkan komitmen HMI Medical terhadap penjagaan insan secara menyeluruh.
Ia turut melambangkan janji Kumpulan, “Lebih prihatin, Lebih bermakna”, yang diterjemahkan melalui empat keutamaan: “Kepakaran yang lebih mendalam”, “Penjagaan yang memahami keperluan anda”, “Pengalaman penjagaan yang lebih bersepadu” dan “Mendekatkan akses penjagaan yang dipercayai kepada anda”.
Simbol biru mencerminkan kepercayaan yang dibina selama ini serta perkembangan Kumpulan menjadi sebuah platform penjagaan kesihatan bersepadu yang menghubungkan perkhidmatan dan kepakaran di Singapura dan Malaysia. Simbol hijau menghubungkan HMI Medical dengan warisan penjagaan kesihatannya, di samping melambangkan komitmennya terhadap masa depan penjagaan kesihatan yang mampan.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Jabatan Penjenamaan dan Komunikasi | branding@mahkotaspecialist.com


